Monday, September 5, 2011

UNIMAS diiktiraf antara 200 universiti terbaik Asia




SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) disenaraikan sebagai antara 200 universiti terbaik di Asia oleh QS World University Ranking 2011 baru-baru ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Abdul Rahim Mohd Noor.

Beliau berkata, pengiktirafan itu sekali gus membuktikan UNIMAS mampu menjadi sebuah universiti emas di rantau ini dalam masa terdekat sekiranya semua peringkat tenaga kerja sedia ada berusaha mencapai sasaran itu.
Beliau berkata, UNIMAS yang baru berusia 20 tahun perlu berpandangan jauh dan segera mengenal pasti bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang boleh melonjakkan nama universiti itu di rantau ini.
“UNIMAS beruntung kerana Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, seorang pakar dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang boleh digunakan dalam R&D, dan dipercayai boleh melonjakkan nama UNIMAS di persada dunia pendidikan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra) di UNIMAS, semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Datuk Dr Hatta Solhi dan Dr Khairuddin.

Pada majlis itu, Ab Rahim menyerahkan kunci bangunan berkenaan kepada Dr Hatta. DeTAR Putra sebuah projek Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dengan kos RM66.85 juta, mula dibina pada 11 Ogos 2008 secara usaha sama oleh syarikat Adiqa Engineering Sdn Bhd dan NSR Engineering.

DeTAR Putra dilengkapi dewan utama, dewan bankuet, ruang kerja yang lengkap di samping kemudahan terkini seperti tempat letak kereta, ruang pejabat dan bilik rehat orang kenamaan.
Bangunan baru itu yang boleh menampung 2,000 tetamu akan menggantikan dewan sedia ada, yang berusia 17 tahun di Kampus Timur.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Dr Khairuddin berkata, mulai Oktober ini, majlis konvokesyen UNIMAS akan diadakan di bangunan baru itu.

Beliau berkata, pembinaan DeTAR Putra menunjukkan komitmen tinggi serta usaha berterusan kerajaan untuk memberi kemudahan prasarana terbaik kepada semua IPTA di negara ini.

No comments:

Post a Comment