Monday, August 15, 2011

Usaha Panasonic beri kesedaran pentingnya memulihara alam sekitar


DALAM usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, Panasonic Malaysia melancarkan program `Panasonic Kids School’ yang disertai sepuluh sekolah rendah dan menengah sekitar Selangor, baru-baru ini.
Antara sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9 dan SK Seksyen 20, Shah Alam; SK Taman Sri Andalas, Klang; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Seafield, Puchong; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sepang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam; SMK Puchong; SMK Sri Andalas, Klang; Sekolah Menengah Teknik (SMT) Shah Alam dan SMT Sepang.

Pada program berkenaan, kakitangan Panasonic mengambil cabaran mengajar dan mempromosikan pendidikan alam sekitar melalui modul pendidikan pengalaman dalam bilik darjah.

Pelajar juga dibawa ke kilang membuat televisyen pertama di Malaysia, menggunakan konsep ‘eco ideas’.

Lebih menyeronokkan, program yang mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran itu memberi peluang pelajar mengambil bahagian dalam beberapa peraduan iaitu ‘Eco Work of Art’ dan ‘Eco Picture Dairy’. Pemenang akan dibawa melawat ke Jepun dan Paris, Perancis.

Bagi sesi di dalam bilik darjah, pelajar diberi pendedahan isu pemanasan global, biodiversiti, ekoteknologi dan ekogaya hidup. Bagi peraduan pula, peserta perlu menghasilkan karya seni menggunakan bahan kitar semula.
Program julung kali diadakan dilancarkan sempena pelancaran kilang ‘eco ideas’ pertama AVC Networoks Panasonic (PAVCKM) di Malaysia, turut menekankan konsep pengurusan alam sekitar.

Kilang ‘eco ideas’ PAVCKM yang menghasilkan televisyen LCD adalah kilang mesra alam sekitar. Pengeluaran produknya turut menggalakkan aktiviti penghijauan kilang, kitar semula, pengurangan penggunaan tenaga dan pendidikan alam sekitar untuk kanak-kanak serta komuniti tempatan.

Setakat ini, Panasonic sudah membina kilang ‘eco ideas’ di Singapura dan Thailand.

Penolong Pengarah Panasonic Jepun, Masaru Maruo, berkata program terbuka kepada pelajar berusia 10 hingga 16 tahun itu dikendalikan menerusi program Pendidikan Eko Global Panasonic (PGELP).

Katanya, PGELP dimulakan di Jepun pada Ogos 2010, berjaya menarik penyertaan 212,000 pelajar. Bagi penyertaan di rantau Asia Pasifik pula iaitu di Singapura, Thailand, Indonesia, India dan Vietnam membabitkan 19,000 pelajar.

“PGELP mensasarkan penyertaan dua juta pelajar menjelang 2018 dengan rantau Asia Pasifik pula, mensasarkan 200,000 penyertaan menjelang Mac 2013,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran program dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Khair Mohamad Yusof, di kilangnya di Shah Alam, baru-baru ini.

Sementara itu, Khair berkata, program itu adalah proses efektif berinteraksi dengan golongan muda mengenai pendidikan alam sekitar.

Beliau berkata, inisiatif itu memberi maklumat tambahan kepada peserta supaya mereka dapat menguruskan aktiviti kitar semula secara berhemah.

“Usaha Panasonic ini memberangsangkan kerana memberi fokus kepada aspek alam sekitar dan kementerian berbesar hati dengan program berkenaan,” katanya.

Pelajar SK Seksyen 20, Irfan Hadi Mustafa, berkata dia seronok kerana berpeluang mengambil bahagian dalam program berkenaan yang memberi maklumat mengenai penjagaan alam sekitar.

“Ini kali pertama saya menyertai aktiviti sebegini. Pada program ini, saya sudah berikrar untuk menjaga alam sekitar dengan baik,” katanya.

Pelajar SK Taman Sri Andalas, Ahmad Firdaus Abd Razak, pula berkata program itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pentingnya menjaga alam sekitar.

“Melalui program ini, saya berjanji mengurangkan penggunaan kertas supaya penebangan pokok dikurangkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment