Monday, August 15, 2011

Usaha Panasonic beri kesedaran pentingnya memulihara alam sekitar


DALAM usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, Panasonic Malaysia melancarkan program `Panasonic Kids School’ yang disertai sepuluh sekolah rendah dan menengah sekitar Selangor, baru-baru ini.
Antara sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9 dan SK Seksyen 20, Shah Alam; SK Taman Sri Andalas, Klang; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Seafield, Puchong; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sepang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam; SMK Puchong; SMK Sri Andalas, Klang; Sekolah Menengah Teknik (SMT) Shah Alam dan SMT Sepang.

Pada program berkenaan, kakitangan Panasonic mengambil cabaran mengajar dan mempromosikan pendidikan alam sekitar melalui modul pendidikan pengalaman dalam bilik darjah.

Pelajar juga dibawa ke kilang membuat televisyen pertama di Malaysia, menggunakan konsep ‘eco ideas’.

Lebih menyeronokkan, program yang mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran itu memberi peluang pelajar mengambil bahagian dalam beberapa peraduan iaitu ‘Eco Work of Art’ dan ‘Eco Picture Dairy’. Pemenang akan dibawa melawat ke Jepun dan Paris, Perancis.

Bagi sesi di dalam bilik darjah, pelajar diberi pendedahan isu pemanasan global, biodiversiti, ekoteknologi dan ekogaya hidup. Bagi peraduan pula, peserta perlu menghasilkan karya seni menggunakan bahan kitar semula.
Program julung kali diadakan dilancarkan sempena pelancaran kilang ‘eco ideas’ pertama AVC Networoks Panasonic (PAVCKM) di Malaysia, turut menekankan konsep pengurusan alam sekitar.

Kilang ‘eco ideas’ PAVCKM yang menghasilkan televisyen LCD adalah kilang mesra alam sekitar. Pengeluaran produknya turut menggalakkan aktiviti penghijauan kilang, kitar semula, pengurangan penggunaan tenaga dan pendidikan alam sekitar untuk kanak-kanak serta komuniti tempatan.

Setakat ini, Panasonic sudah membina kilang ‘eco ideas’ di Singapura dan Thailand.

Penolong Pengarah Panasonic Jepun, Masaru Maruo, berkata program terbuka kepada pelajar berusia 10 hingga 16 tahun itu dikendalikan menerusi program Pendidikan Eko Global Panasonic (PGELP).

Katanya, PGELP dimulakan di Jepun pada Ogos 2010, berjaya menarik penyertaan 212,000 pelajar. Bagi penyertaan di rantau Asia Pasifik pula iaitu di Singapura, Thailand, Indonesia, India dan Vietnam membabitkan 19,000 pelajar.

“PGELP mensasarkan penyertaan dua juta pelajar menjelang 2018 dengan rantau Asia Pasifik pula, mensasarkan 200,000 penyertaan menjelang Mac 2013,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran program dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Khair Mohamad Yusof, di kilangnya di Shah Alam, baru-baru ini.

Sementara itu, Khair berkata, program itu adalah proses efektif berinteraksi dengan golongan muda mengenai pendidikan alam sekitar.

Beliau berkata, inisiatif itu memberi maklumat tambahan kepada peserta supaya mereka dapat menguruskan aktiviti kitar semula secara berhemah.

“Usaha Panasonic ini memberangsangkan kerana memberi fokus kepada aspek alam sekitar dan kementerian berbesar hati dengan program berkenaan,” katanya.

Pelajar SK Seksyen 20, Irfan Hadi Mustafa, berkata dia seronok kerana berpeluang mengambil bahagian dalam program berkenaan yang memberi maklumat mengenai penjagaan alam sekitar.

“Ini kali pertama saya menyertai aktiviti sebegini. Pada program ini, saya sudah berikrar untuk menjaga alam sekitar dengan baik,” katanya.

Pelajar SK Taman Sri Andalas, Ahmad Firdaus Abd Razak, pula berkata program itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pentingnya menjaga alam sekitar.

“Melalui program ini, saya berjanji mengurangkan penggunaan kertas supaya penebangan pokok dikurangkan,” katanya.

'Aku nak mati cepat, senang masuk syurga...'


Dua beradik terbunuh nahas kereta bertembung MPV

BATU PAHAT: "Aku nak mati cepat, nanti senang nak masuk syurga," demikian antara luahan pelajar Tahun Tiga, Maisarah Nazri, 9, kepada sepupunya beberapa hari sebelum maut dalam kemalangan di kilometer 145 Jalan Parit Guntong-Semerah, dekat sini, semalam.
Tragedi kira-kira jam 8.30 pagi menjelang dua minggu sebelum Aidilfitri itu turut meragut nyawa abang keempat, Afifi Nazri, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Vokasional Batu Pahat.

Ibu mangsa, Aisyah Othman, 47, berkata anak bongsu daripada enam beradik berkenaan sebelum itu memberitahunya mahu pergi dulu sebelum beliau dan ingin mendapat tempat di syurga.

“Arwah kerap kali mengatakan mengenai keinginan mahu mati cepat pada usia muda, sehingga saya beberapa kali memarahinya supaya tidak bercakap perkara bukan-bukan.

“Namun, Allah Maha Kaya dan saya tidak menyangka Maisarah akan meninggalkan kami sekeluarga dalam keadaan begini, apatah lagi dengan Aidilfitri yang akan menjelang tiba dua minggu lagi.

“Saya sedih dan terkilan kerana Maisarah tidak sempat memakai baju raya yang dimintanya, apatah lagi kami baru belikan untuknya beberapa hari lalu... masih terngiang-ngiang lagi suara Maisarah yang mahukan baju raya yang cantik serta mahal untuk dipakai Aidilfitri ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Nibong, Semerah.
Dalam kejadian itu, kereta kancil dipandu Afifi bersama Maisarah bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika dalam perjalanan ke pusat tuisyen.

Wanita yang memandu pacuan empat roda berkenaan turut cedera patah tulang rusuk dan kini dirawat di Hospital Batu Pahat.

Aisyah berkata, anak keempatnya, Afifi turut menunjukkan perubahan apabila bertukar menjadi agak pendiam dan selalu memencilkan diri.

“Naluri saya menyatakan ada perkara yang tidak baik mungkin akan berlaku kepada keluarga saya dan ia ternyata benar,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Nazri Mohd Basri, 47, berkata dia dimaklumkan kemalangan menimpa dua anaknya itu menerusi seorang rakan dan bergegas ke lokasi kejadian serta sebak melihat kenderaan dinaiki anaknya remuk.

“Kebiasaannya anak sulung saya berusia 22 tahun yang menghantar Maisarah ke pusat tuisyen. Maisarah sudah terlambat untuk ke pusat tuisyen semalam sebelum mengejutkan Afifi untuk menghantarnya. Kami sekeluarga redha dengan ketentuan takdir Ilahi,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Nibong kira-kira jam 6.30 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, ketika dihubungi berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 8.25 pagi sebelum polis ke ditugaskan ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa (Afifi) jenis Perodua Kancil arah Semerah-Batu Pahat dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV terbabit.

Berikutan kemalangan itu, katanya, kedua-dua mangsa dalam kereta Kancil cedera parah di beberapa bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Pemandu serta penumpang MPV pula cedera ringan dengan seorang dipercayai patah tulang rusuk dan kini menerima rawatan di Hospital Batu Pahat,” katanya menjelaskan kes masih dalam siasatan.